Tuesday, November 8, 2016

KENA AMBIL UBAT SEBELUM ATAU SELEPAS MAKAN?


Kadang-kadang pelik kan bila dengar ahli farmasi bagi arahan macam mana nak makan ubat. Ada yang kena ambil sebelum makan. Ada yang selepas makan. Yang kena kunyah dengan makanan pun ada. Kan semuanya akan ke perut juga akhirnya. Mereka ni sengaja nak peningkan kepala pesakit ke?


Sebenarnya susah nak jelaskan kaitan antara tempoh pengambilan makanan dan ubat ni. Terdapat banyak isu dan kaitan antara ubat dan makanan. Saya cuba terangkan semudah dan seringkas yang mungkin.

BIASANYA UBAT LEBIH MUDAH DISERAP SEWAKTU PERUT KOSONG

Secara amnya, makanan di dalam perut akan menyebabkan proses penyerapan ubat berlaku dengan lebih lambat. Ini kerana makanan akan diproses di dalam perut terlebih dahulu sebelum di bawa ke usus kecil untuk proses penyerapan. Makanan, terutamanya yang mempunyai kandungan lemak yang tinggi akan menyebabkan proses ini berlaku dengan lebih lambat.



ADA UBAT LEBIH MUDAH DISERAP BERSAMA MAKANAN
Sesetengah ubat lebih mudah diproses dan diserap sekiranya diambil bersama makanan. Ini bergantung kepada sifat kimia fizikal (physicochemical) dan farmakokinetik ubat itu sendiri. Ketiadaan makanan dalam perut akan menyebabkan proses penguraian ubat tidak berlaku dengan sempurna dan menyebabkan ubat tidak diserap dengan baik.


SEBAHAGIAN UBAT MENYEBABKAN RASA TIDAK SELESA SEKIRANYA DIAMBIL SEWAKTU PERUT KOSONG
Ada juga ubat-ubatan yang akan mendatangkan kesan sampingan iritasi kepada permukaan perut. Ini boleh menyebabkan kepedihan di dalam perut. Oleh sebab itu, ubat-ubatan seperti ini perlu diambil bersama makanan ataupun sejurus selepas makan.


INTERAKSI UBAT DENGAN MAKANAN
Sebenarnya semua makanan yang dimakan akan bertindak balas dengan ubat-ubatan. Cuma kadar tindak balas tersebut berbeza mengikut makanan dan ubat. Contohnya makanan yang mengandungi kandungan mineral yang tinggi seperti pisang dan tembikai berkemungkinan bertindak balas dengan beberapa jenis ubat darah tinggi yang boleh meningkatkan kandungan kalium dalam darah.


PANDUAN UNTUK PESAKIT

Agak mustahil untuk saya senaraikan cara pemakanan semua jenis ubat-ubatan dan juga kemungkinan interaksi antara jenis makanan dan ubat di sini. Namun begitu, berikut adalah beberapa panduan untuk pesakit:-

1. Sentiasa patuh dan peka pada arahan doktor/pegawai farmasi/label ubat. 

2. Beritahu doktor/ahli farmasi ubat-ubatan lain yang anda ambil termasuk vitamin dan ubatan herba atau tradisional.

3. Ambil ubat dengan air kosong yang mencukupi bagi mengurangkan risiko interaksi ubat dan minuman. 

4. Jangan campur ubat dengan makanan atau minuman melainkan telah mendapat nasihat ahli farmasi/doktor. 

5. Ambil ubat sekurang-kurangnya 2 jam sebelum atau 2 jam selepas makan sekiranya ubat perlu diambil sewaktu perut kosong.


Semoga panduan ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman mengenai kaitan ubat dan makanan.


Rujukan:
1. Pharmaceutical Benefits Branch. Be wise with medicines ... the facts. Canberra: Department of Health and Ageing; 2000. 
2. Schmidt LE, Dalhoff K. Food-drug interactions. Drugs 2002;62:1481-1502.
3. McNeece J. Grapefruit juice interactions. Aust Prescr 2002;25:37.
4. http://www.webmd.com/…/…/details/list-interaction-medication


sumber

No comments:

Daisypath Anniversary tickers